Sejarah dan asal usul  jempol

 

    
Jempol merupakan salah sebuah daerah dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, yang juga merupakan daerah terbesar dari jumlah tujuh daerah kesemuanya (Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson). Terdapat beberapa cerita atau mitos yang tersebar berkenaan penamaan ‘Jempol’ sebagai nama daerah ini. Antaranya sebuah kisah yang bermula daripada pemilik nama seorang gadis desa yang mati dibunuh akibat fitnah dan hasad dengki manusia.

     Nama Jempol kononnya diambil dari peristiwa tersebut yang mana gadis yang dibunuh itulah yang bernama Sri Jempol. Selain itu, terdapat juga cerita yang mengaitkan nama Jempol ini dengan nama sebuah sungai di sini. Jempol seperti juga daerah-daerah di Negeri Sembilan yang lain, amat berpegang teguh kepada adat. Adat yang paling popular di sini dan daerah sekitarnya adalah Adat Perpatih. Sehingga kini, adat tersebut masih diamalkan walaupun golongan muda masa kini semakin meminggirkan adat-adat tersebut.

Semasa peneroka awal orang asli yang membuat penempatan di kawasan antara dua siku sungai yang hampir-hampir bertemu antara keduanya iaitu Sungai Serting yang mengalir ke Sungai Pahang dan satu sungai yang pada masa itu cuma dikenali dengan Sungai Leban Condong Tupai Batuk yang mengalir ke Sungai Muar. Penempatan yang ada di kuala sungai itu dikenali dengan nama Penarikan atau dikenali juga sebagai Jambu Lapan.

Luak Jempol sekarang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kuala Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bahau (Serting) dan Ulu Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Pilah.


Asal nama Jempol itu kononnya diambil dari nama seorang anak tempatan yang bernama JEMPO. Individu berkenaan dikatakan telah mati terbunuh atau dibunuh sama ada akibat dari kejahatannya sendiri atau dihukum  akibat dari fitnah yang memalukan diri dan keluarga. Dan semua cerita-cerita itu berakhir dengan tragedi kematian yang mengerikan kepada individu yang bernama Jempo itu.


Disamping itu terdapat pula perselisihan maklumat sama ada orang yang bernama Jempo itu seorang lelaki atau seorang perempuan.


Versi yang mengisahkan si Jempo itu nama seorang lelaki diringkaskan seperti berikut: -

"Seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Jempo itu adalah anak kepada Tok Batin bernama Leban Condong seorang ketua orang asli tempatan dengan isterinya bernama Danau Rasau seorang wanita yang datang dari tanah Minang (sebenarnya Leban Condong dan Danau Rasau itu adalah nama tempat).

Anak Tok Batin si Jempo itu selain dari gagah perkasa beliau juga mempunyai perangai jahat dan ditakuti penduduk yang tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang kelakuan buruknya itu.

Pada satu ketika Jempo telah jatuh hati kepada seorang anak gadis kampungnya bernama Melor. Kerana tidak mendapat layanan dari pihak keluarga gadis itu, pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari ‘huma’ Melor telah ditahan oleh Jempo dan akhirnya Melor diperkosa yang menyebabkan gadis itu mengandung.

Si Jempo terus berleluasa dengan perangai jahat bersikap ‘membujur lalu melintang patah’ terhadap mana-mana juga perempuan yang dihajatinya menyebabkan beliau mempunyai musuh sekeliling pinggang. Akhirnya Jempo mati terbunuh semasa terjun mandi dari atas sebatang pokok leban yang condong ke dalam sungai di tempat permandian yang telah sedia dipasang ranjau-ranjau tajam (buluh yang telah diruncingkan) oleh musuh-musuhnya yang telah bermuafakat untuk membunuhnya secara begitu kerana membalas dendam".


Versi-versi yang mengisahkan Jempo itu nama dari seorang perempuan diringkaskan cerita-ceritanya seperti di bawah ini: -

"Jempo adalah seorang anak gadis kepada seorang Tok Batin. Jempo merupakan seorang gadis cantik dan telah bertunang dengan seorang perantau bernama ‘Tengkek’ (Tengkek nama sebuah kampung di Ulu Jempol).

Pada satu ketika si Tengkek dengan tunangnya si Jempo itu telah ‘berselingkuh’. Perkara itu berlaku berulangkali sehingga diketahui oleh orang kampung yang telah bertindak mengadukan perkara itu kepada ayahnya Tok Batin. Setelah disiasat perkara itu didapati benar berlaku yang menyebabkan Tok Batin merasa sangat malu. Tok Batin mengambil keputusan anaknya si Jempo itu mesti dihukum bunuh dengan cara dipaksa terjun ke dalam sungai yang telah sedia dipasang ranjau. Jempo menemui ajalnya disitu. Dengan kematian Jempo yang sangat tragis begitu maka sungai tempat berlakunya pembunuhan tersebut dipanggil Sungai Jempo mengambil sempena namanya yang akhirnya dinamakan sebagai Sungai Jempol"


Dalam buku Luak Tanah Mengandung susunan Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar semasa beliau menjadi setiausaha kepada Dato’ Penghulu Luak Jempol YM Dato’ Haji Mohd Hashim bin Abdullah dalam perkara ini beliau menulis: -

"Luak Jempol dikatakan mengambil sempena nama sungai yang mengalir di daerah ini iaitu Sungai Jempol. Nama sungai ini pula diambil daripada peristiwa pembunuhan ke atas seorang gadis bernama Jempo yang dijatuhkan hukum sula di hujung pasir sungai. Mayat gadis itu kemudiannya dibuang ke dalam sungai.

Daripada cerita lisan orang tua-tua, peristiwa ini berlaku menimpa keluarga To’ Pilih, apabila anak gadisnya bernama Jempo didapati bersalah melakukan perbuatan sumbang. Jempo seorang gadis cantik di Kampung Terentang Ulu Jempol di kawasan Leban Condong. Ramai pemuda terpikat dengan kecantikannya. Masing-masing berusaha untuk memenangi hati gadis berkenaan.

Setelah Jempo didapati melakukan perbuatan sumbang, dia dijatuhkan hukuman bunuh dengan disula (di tepi sungai). Darahnya mengalir dari hulu hingga ke kuala sungai. Dengan kejadian itulah nama sungai berkenaan ditukar kepada Jempo dan akhirnya menjadi Jempol. Sebelum itu nama tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Penarikan' ".


Fakta tulisan ini agak mengelirukan kerana Kampung Terentang atau Leban Condong itu berada di Ulu Jempol manakala Penarikan itu berada di Kuala Jempol. Jarak keduanya lebih kurang 15 kilometer. Penarikan dan Kampung Terentang selain dari dipisahkan oleh jarak yang begitu jauh dan dipisahkan pula oleh sebaris bukit yang bernama Bukit Sempit. Dengan itu tidak mungkin Kampung Terentang juga bernama ‘Penarikan’ kecuali kalau pada masa itu Sungai Jempol bernama Sungai Penarikan.


Batin Pak Sudum Durai yang meneroka perkampungan di Danau Rasau Ulu Jempol itu pun tidak tahu nama sungai itu Sungai Jempol. Ada satu ungkapan dalam terombo Dato’ Batin Jempol menyebut...

 "semasa Jempol belum bernama Jempol, Jempol bernama Loban Condong".


Kisah peristiwa seorang gadis bernama Jempo anak To’ Batin yang telah dihukum sula kerana tuduhan berlaku sumbang ini juga ada ditulis oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad dalam risalah ‘Sejarah Asal Usul Jempol, Luak dan Suku’ yang dikatakanya salah satu cerita asal nama Jempol. Begitu juga cerita yang hampir  serupa terdapat di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol.


Tetapi kalaulah cerita itu benar, yang nyatanya nama To’ Batin Pilih yang menjatuhkan hukuman sula kepada anaknya seorang perawan yang bernama Jempo itu bukanlah salah seorang Batin yang berasal dari Dato’-Dato’ Batin Biduanda Salasilah. Kerana di dalam salasilah Dato’ Batin Jempol itu tidak terdapat nama To’ Batin Pilih dan dalam sejarah waris ini tidak pernah ada seorang perawan atau pun janda yang pernah dihukum sula kerana kesalahan seperti itu. Dan lagi, kejadian itu dikatakan berlaku di Loban Chondong (Kampung Terentang sekarang ini). Bukan berlaku di Danau Rasau.


Dato’ Paduka Tuan Abdul Rahman menulis lagi dalam risalahnya itu iaitu salah satu cerita yang menjadi asal nama Jempol itu dikisahkan begini: -

"Menurut sumber lisan orang tua-tua, mengenai asal usul nama Jempol itu dikaitkan dengan kedatangan sembilan (9) orang bersaudara serta pengikutnya dari Pasri Sumatera. Mereka mencari perlindungan dan penempatan baru, kerana tempat tinggal mereka (di Sumatera) akan mengalami bencana gunung berapi.  

Rombongan itu telah berhenti di satu kuala sungai (Penarikan) untuk menambah barang keperluan. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Sempadang telah mengarahkan pengikutnya pergi mencari dan meninjau di persekitaran kuala sungai itu, kira-kira setengah batu jauhnya.

Diberitakan bahawa kawasan tersebut menarik dan cantik. Oleh demikian Datuk Sempadang telah menamakan kuala sungai tersebut sebagai Jempol (cantik) dari kuala hingga ke hulunya. 

Bedasarkan maklumat yang menyenangkan itu Datuk Sempadang mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama-sama dengan pengikutnya. Kawasan tersebut dijadikan penempatan dan kawasan pertanian yang mana ia telah menarik ramai perantau-perantau yang turut serta pula menetap di situ".


Berdasarkan cerita ini nampaknya menggambarkan semasa sembilan orang perantau yang diketuai oleh Datuk Sempadang sampai ke Penarikan yang akhirnya membuat penempatan baru dan menamakan tempat itu Jempol, kumpulan beliaulah orang pertama sampai di situ. Sebelumnya tidak ada sesiapa yang menduduki kawasan itu. Berbeza dengan apa yang digambarkan oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam tulisannya menggambarkan tempat yang bernama Penarikan itu telah pun sedia diteroka sejak sebelum Portugis mengalahkan Sultan Mahmud di Pagoh dan Bentayan. Bahkan Penarikan telah pun didiami orang sejak Kerajaan Melayu masih berkuasa di Melaka. Hang Tuah pernah melalui jalan disitu semasa pergi  ‘mencuri’ Tun Teja di Pahang, apalagi dijumpai pula sebuah kubur bernama Tun Sin bertarikh kurun ke-13 (1264) di situ yang dapat membuktikan benarnya tempat itu sudah lama didiami orang.


Tulisan yang dibuat oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam buku 'Luak Tanah Mengandung’ dicatatkan di sini antara lain:


Cikgu Buyong Adil dalam bukunya ‘Sejarah Pahang’ (DBP,1972) menuliskan Penarikan sebagai jalan penting dalam hubungan Melaka dan Pahang sejak beberapa abad lalu. Beliau (Cikgu Buyong Adil) menceritakan -

"…Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat pada tempat yang bernama Penarekan, lalu berjalan darat kira-kira sejauh 300 ela, masuk pula ke Sungai Jempol; menghilir (nya ) Sungai Jempol masuk ke Sungai Muar lalu sampai ke Muar (di Johor). Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah mereka dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar)…"


Sekiranya nama Jempol menggantikan Penarikan, bermakna pertukaran nama itu berlaku selepas Tun Sri Lanang Mengarang buku ‘Sejarah Melayu’ sekitar abad ke-17. Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu masih menggunakan nama Penarikan apabila menulis mengenai wilayah Jempol.


Apakah gadis Jempo yang dihukum sula itu berlaku sekitar abad ke-18. Tun Seri Lanang menulis dalam Sejarah Melayu begini: -

"…Maka Sang Setia pun mati; maka Pagoh pun alah. Maka Sultan Ahmad pun undur ke Ulu Muar, lalu ke Penarikan. Maka Bendahara pun mati, ditanamkan orang di Lubuk Batu; itulah disebut orang Dato’ di Lubuk Batu…"


Sumber Sejarah Melayu itu menunjukkan Penarikan sudah didiami orang sejak pemerintahan kerajaan Melayu Melaka lagi. Kedudukan kampung Penarikan ini amat sesuai dengan bercucuk tanam. Penduduknya lebih ramai tinggal di tepi-tepi sungai hingga ke Jempol. Di situ terletak pertemuan beberapa kuala sungai yang mengalir ke Sungai Muar.


Sesetengah berpendapat nama ‘Penarikan’ itu diambil bersempena dengan ramai orang tertarik untuk berhijrah ke perkampungan di situ. Tetapi ada sesetengah pihak mendakwa pertemuan beberapa kuala sungai itu seolah-olah bertarik-tarikan. Disamping terdapat juga sebuah bukit berhampiran kawasan ini dikenali sebagai Bukit Penarik.


Link di bawah adalah lakaran luak tempat berasalnya nama Jempol di Penarekan.

http://1.bp.blogspot.com/-tMod8h-OEf4/UHUiNofb9yI/AAAAAAAAAA8/Dw8zkUQPyO4/s640/lakaran+luak.jpg" >