Dikembarkan lakaran mengenai kedudukan kawasan yang dinamakan Penarekan itu, seperti yang terdapat dalam Sejarah Pahang oleh Haji Buyong Adil itu.

Tetapi nama Jempol yang dikatakan berasal daripada gadis Jempo, agak bercampur dengan ciri-ciri mitos. Biasanya masyarakat memilih nama perkampungan mereka daripada nama yang baik-baik. Kalau seorang gadis yang dihukum sula dijadikan nama sesebuah perkampungan tentu dianggap membawa bencana. Pemilihan nama Melaka misalnya berdasarkan pokok tempat raja bersandar melepaskan lelah semasa anjing pemburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Peristiwa demikian dianggap membawa tuah.


Demikian juga peristiwa Sang Nila Utama mendarat di Temasik apabila terserempak dengan seekor singa, lantas menamakan tempat yang ditemuinya itu Singapura. Bagaimana pula penduduk-penduduk di Penarikan menukar nama kampung mereka kepada Jempol semata-mata menghormati seorang gadis yang didapati bersalah (berzina) hingga dihukum sula?


Bagaimanapun memang  ada pula perkampungan bernama Jempol di Pahang (penulis hingga kini belum dapat maklumat apakah hubungan Jempol di Pahang dengan Jempol di Negeri Sembilan itu). Apa yang disebutkan dalam Hikayat Pahang. Antara lainnya diceritakan: -

 

 "…Tok Gajah telah merancangkan iaitu: Sultan Pahang yang bersemayam di Pulau Tawar itu ditetapkan mengawal Kampung Chenor; Panglima Muda di kampung Jempol (Sungai Jempol cabang Sungai Pahang dekat Maran) akan pergi menyerang ke daerah Pekan"

 


Beberapa nama serupa berlaku kepada beberapa nama kampung di Negeri Sembilan dan Pahang. Misalnya Rompin terdapat di Pahang dan di Negeri Sembilan. Triang juga terdapat di kedua-dua negeri ini. Dalam masalah penjenamaan ini, Luak Jempol di Negeri Sembilan nyatalah mengambil namanya sempena nama Sungai yang mengalir dari sumber hulunya Bukit Peraja hingga ke kualanya  masuk ke Sungai Muar (sebelumnya ada kajian ilmu geografi mengatakan sungai berkenaan pada asalnya berkemungkinan mengalir masuk ke Sungai Pahang, tetapi akibat hakisan bah besar menjadikan berlakunya 'tawanan sungai' yang mengubah aliranya masuk ke Sungai Muar). Penulis masih ingat lagi kata-kata Ibu supaya tidak bermain air di Sungai Jempol terutamanya semasa musim tengkujuh, katanya

 

"Jangan main air, kalau hanyut nanti sampai ke Kuala Bera!"

 


Ungkapan itu membayangkan bahawa Sungai Jempol pada zaman dahulu  mengalir masuk ke Sungai Pahang.

 

Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera yang diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke-14 Masihi.     Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan memang terkenal dengan panggilan orang Minang. Hal ini disebabkan kebanyakannya berasal daripada keturunan orang-orang Minangkabau yang terdapat di Wilayah Minangkabau, Sumatera. Minangkabau ialah nama bagi sebuah negeri, orang-orangnya dan juga bahasanya. Tetapi biasanya istilah yang digunakan untuk orang-orang Minangkabau ialah orang Minang. Masyarakat Minangkabau memang terkenal dengan cara hidup dan adat istiadat yang unik.     Dalam amalan Adat Minangkabau ini, harta pusaka, gelaran dan nama suku diturunkan menurut salasilah keturunan sebelah ibu. Masyarakat Minangkabau bersifat peramah dan bijak dalam berbicara terutamanya dalam upacara-upacara adat yang dilakukan. Mereka menyampaikan sesuatu hal atau hajat secara halus dan cara kiasan, sehingga dalam menerimanya harus pula dengan perasaan yang halus. Atap rumah dan tutup kepala wanita Minang mempunyai bentuk mirip tanduk kerbau.     Menurut kisah lalu, bentuk-bentuk ini dapat ditafsirkan oleh kerana eratnya hubungan dengan nama Minangkabau yang dapat disama erti dengan 'menang kerbau'. Masyarakat Minangkabau ialah pemeluk agama Islam yang taat dan pemegang adat yang kuat. Hal-hal agama dan adat terpadu secara serasi dalam cara kehidupan masyarakat seharian dan dijunjung tinggi oleh mereka. Begitulah asal mula perkembangan gelombang kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan.

 

Mukim

 

  1. Mukim Jelai
  2. Mukim Kuala Jempol
  3. Mukim Rompin
  4. Mukim Serting Hilir
  5. Mukim Serting Hulu
  6. Bandar Serting
  7. Bandar Bahau
  8. Bandar Seri Jempol
  9. Pekan Bahau
  10. Pekan Batu Kikir
  11. Pekan Kuala Jelai
  12. Pekan Rompin
  13. Pekan Ladang Geddes
  14. Pekan Mahsan
  15. Pekan Serting Tengah

 

Sumber dari penduduk kampung dan buku "Luak Tanah Mengandung" nukilan Dato' Komo Haji Duaji bin Bakar